Thursday, 26 September 2013

KAMPUNG KELANTAN, SEJARAH MAKAM LAKSAMANA BENTAN


Di dalam Kampung Kelantan terdapatnya tempat pelancongan dan bukti sejarah yang popular dikalangan pelancong tempatan dan juga pelancong di luar Negara. Tempat yang dibualkan iailah Makam Laksamana Bentan. Makam ini mempunyai hubungkait yang amat rapat dengan dengan peristiwa Sultan Mahmud Mangkat Dijulang iaitu pada bulan Ogos, 1699. Menurut cerita yang diberitahu oleh seorang penduduk tempatan yang sudah berusia 75 tahun, semasa Megat Seri Rama (Laksamana Bentan) menjalankan tugas menumpaskan lanun, beliau meninggalkan isterinya Dang Anum yang sarat mengandung.

Dang Anum mengidam buah nangka. Nangka yang diambilnya adalah dari pokok nangka di kebun sultan. Perbuatan menebuk nangka itu amat dimurkai oleh sultan kerana dianggap menghina baginda. Dang Anum menyatakan bahawa nangka itu bukan untuknya tetapi untuk anak didalam kandungannya. Akhirnya sultan memerintahkan supaya perut Dang Anum dibelah bagi membuktikan benar atau tidak kata-kata Dang Anum. Apabila dilihat sendiri oleh baginda nangka tersebut berada di mulut bayinya, baginda menyesal di atas tindakan itu tetapi sudah terlambat.

Mengetahui kejadian itu, maka Megat Seri Rama telah menikam baginda sultan ketika baginda berangkat ke masjid untuk menunaikan solat jumaat. Tikaman Megat Seri Rama tepat kena kepada sultan. Ketika baginda hendak rebah, baginda sempat disambut oleh pengiringnya lalu dijulang. Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, baginda sempat melontarkan kerisnya kea rah Megat Seri Rama dan tepat mengenai kakinya lalu Megat Seri Rama meninggal dunia. Kedua-dua jenazah dikebumikan di dalam daerah Kota Tinggi, tetapi di tempat yang berbeza. Makam Sultan Mahmud berada di Kampung Makam manakala Makam Laksamana Bentan ditempatkan di dalam Kampung Kelantan.

Ekoran peristiwa tersebut, kejadian menarik ini telah tersebar ke seluruh negeri yang terdapat di Malaysia sehingga ke hari ini. Menurut temubual lagi, semenjak jalan raya yang menghubungkan pekan Kota Tinggi dengan Kampung Kelantan dibuat iaitu pada tahun 1950-an, lebih ramai pelancong dalam dan luar Negara datang berpusu-pusu ke Makam berkenaan bagi melihat sendiri dan memahami peristiwa sejarah yang amat bermakna ini. Boleh dikatakan hampir setiap hari pelancong akan datang ke tempat berkenaan khususnya dari utara semenanjung, Sabah dan Sarawak. Bahkan ada juga pengkaji dan penyelidik sejarah yang datang dari universiti-universiti tempatan seperti UM, USM dan UPSI bagi mengkaji sejarah Malaysia lama.

Dalam sejarah banjir selama beberapa kali yang berlaku di Kampung Kelantan, Makam Laksamana Bentan tidak pernah dinaiki air kerana kedudukannya yang sedikit tinggi walaupun berada di tepi sungai. Namun, dalam kejadian banjir kedua yang berlaku pada awal bulan Januari tahun ini (2007), makam tersebut telah ditenggelami air sehingga ke paras tiang besi yang mengelilingi makam berkenaan. Sebaik sahaja banjir surut, usaha-usaha membaikpulih makam berkenaan dijalankan dengan kadar yang segera bagi menjaga khazanah sejarah yang bernilai ini.

Segala usaha membaikpulih dijalankan sendiri oleh penduduk kampung yang tinggal berdekatan dengan makam berkenaan dan turut dibantu oleh Tok Ketua daerah Kota Tinggi dan jabatan-jabatan kerajaan lain. Selang beberapa hari usaha pembersihan dan baik pulih dijalankan, makam berkenaan kembali kepada keadaannya yang asal. Pada mulanya, selepas aktiviti pembersihan telah dijalankan, pelancong-pelancong kurang datang melawat makam berkenaan kerana takut akan peristiwa banjir berulang kembali. Tetapi dalam hujung bulan Febuari, jumlah pelawat yang datang ke Makam berkenaan kembali normal. Malahan semakin bertambah ramai dari masa ke semasa. Hal ini mungkin disebabkan masyarakat mula sedar akan kedudukan sejarah tersebut di dalam sejarah Malaysia, khususnya di negeri Johor.

No comments:

Post a Comment