Thursday 26 September 2013

SELAMAT DATANG KE DAERAH KOTA TINGGI


Kota Tinggi merupakan salah sebuah daerah yang terdapat di negeri Johor, Malaysia. Bandar Kota Tinggi terletak di laluan Sungai Johor. Jarak Kota Tinggi lebih kurang 42 km dari bandaraya Johor Bahru. Dengan keluasan daerah Kota Tinggi kira-kira 3488.7 kilometer persegi, aktiviti ekonomi utama bagi daerah ini ialah perladangan seperti kelapa sawit, getah dan pertanian lain di samping terdapat kegiatan lain seperti perikanan yang terdapat di pesisiran pantai seperti di Tanjung Sedili. Aktiviti ekonomi yang lain ialah seperti perlombongan dan perniagaan.
Daerah Kota Tinggi terdiri daripada kawasan bandar, perkampungan Melayu tradisional serta kawasan rancangan tanah Felda. Terdapat juga petempatan orang asli di daerah ini. Antara tempat-tempat menarik yang boleh dilawati sekiranya berkunjung ke Kota Tinggi ialah Air Terjun Kota Tinggi yang terletak lebih kurang 16 km dari bandar Kota Tinggi. Sekiranya anda menyukai kehijauan hutan, Kota Tinggi juga mempunyai Hutan Lipur Panti. Selain daripada itu, sekiranya ingin melakukan aktiviti pendakian, Gunung Panti dan Gunung Muntahak boleh menjadi medan pertarungan. Pantai-pantai yang indah juga menggamit kehadiran pelancong. Antara pantai yang boleh dilawati ialah seperti Desaru, Tanjung Balau, Batu Layar dan Tanjung Sedili. Jangan lupa berkunjung ke perkampungan orang asli Kanaq di Kampung Sungai Selangi, satu-satunya petempatan kaum ini di dunia. Kota Tinggi juga dikenali sebagai sebuah bandar sejarah kerana Kesultanan Johor diasaskan di sini. Terdapat banyak makam sejarah di sini, termasuk Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (makam Sultan Mahmud Shah II) dan Makam Tauhid di Kampung Makam. Makam Laksamana Bentan pula terletak di Kampung Kentan dan Makam Bendahara Tun Habib Abdul Majid juga di Kampung Makam. Cerita sejarah ini pernah difilemkan pada tahun 1960-an dengan diberikan nama "Dang Anom". Barisan pelakon yang membintangi filem ini termasuklah Allahyarham Nordin Ahmad sebagai Laksamana Bentan.

No comments:

Post a Comment